Friday, November 7, 2025

i-Lindung KWSP: Skim Perlindungan yang Bijak untuk Masa Depan

Dalam era ekonomi yang tidak menentu seperti hari ini, perancangan kewangan menjadi keutamaan bagi setiap individu, terutamanya pekerja yang bergantung kepada simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Salah satu inisiatif inovatif yang diperkenalkan oleh KWSP ialah skim i-Lindung, yang membolehkan pencarum menggunakan sebahagian daripada dana simpanan mereka untuk membeli polisi perlindungan insurans atau takaful.

i-Lindung dilancarkan pada tahun 2018 bertujuan untuk memastikan ahli KWSP tidak hanya menabung untuk persaraan, tetapi juga melindungi diri dan keluarga daripada risiko tidak dijangka seperti penyakit kritikal, kemalangan, atau kematian. Skim ini eksklusif untuk ahli KWSP yang berumur di bawah 60 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya RM1,000 dalam Akaun 1 (i-Akaun) mereka.

Apa yang menjadikan i-Lindung menarik ialah fleksibiliti dan kemudahannya. Pencarum boleh memilih pelbagai produk perlindungan daripada operator insurans atau takaful yang diluluskan oleh KWSP, seperti Prudential BSN Takaful, Etiqa Takaful, atau AmMetLife Takaful. Proses pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal KWSP atau aplikasi i-Akaun, tanpa perlu keluar wang dari poket kerana potongan dibuat secara automatik daripada Akaun 1. Ini bermakna simpanan KWSP anda bekerja dua kali ganda: menabung untuk masa depan sambil menyediakan lapisan perlindungan segera.

Kelebihan i-Lindung:

Kemampuan milik yang tinggi. Bayaran premium bermula serendah RM15.40 setahun, bergantung kepada umur, jumlah liputan, dan jenis polisi yang dipilih. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk golongan muda atau berpendapatan sederhana yang sering mengelak insurans konvensional kerana kos tinggi. Daripada mengeluarkan wang tunai, dana KWSP digunakan, yang mengurangkan beban kewangan harian tanpa menjejaskan simpanan utama.

Fleksibiliti penuh. Pencarum boleh menyesuaikan jumlah liputan pampasan (contohnya, RM50,000 hingga RM500,000 untuk penyakit kritikal) dan tempoh perlindungan mengikut keperluan peribadi. Selain itu, skim ini membolehkan liputan pampasan untuk pasangan dan anak-anak, menjadikannya skim keluarga yang komprehensif. Jika situasi kewangan berubah, anda boleh menukar atau membatalkan polisi dengan mudah, dan bayaran akan disesuaikan secara automatik.

Manfaat jangka masa panjang untuk perancangan kewangan. i-Lindung bukan sahaja melindungi daripada risiko, tetapi juga menyumbang kepada matlamat simpanan keseluruhan. Contohnya, jika anda mengalami penyakit kritikal, polisi boleh membayar tuntutan tunai yang boleh digunakan untuk rawatan atau menampung kehilangan pendapatan, sambil memastikan Akaun 2 EPF anda kekal utuh untuk perubatan. Ini selaras dengan prinsip perancangan kewangan holistik, di mana perlindungan menjadi asas kepada kestabilan kewangan.

Promosi dan insentif tambahan. KWSP sering mengadakan kempen seperti i-Lindung Bonanza, di mana peserta boleh memenangi hadiah tunai atau ganjaran lain dengan mendaftar produk tertentu. Kempen ini, yang dianjurkan oleh operator takaful seperti Etiqa, memberi dorongan tambahan untuk bertindak cepat, sambil memastikan anda mendapat nilai terbaik daripada simpanan KWSP.

Pasa mulanya saya sendiri tidak tahu menahu pun ada kempen i-Lindung Bonanza, alasan utama saya mengambil polisi untuk buat perancangan bagi mengurangkan risiko kewangan. Dari tiga perbandingan sebutharga saya memilih Etiqa pada masa itu diantara yang murah dan menepati ciri yang saya perlukan selepas membuat penilaian terperinci sebelum membuat keputusan untuk mengunakan dana akaun 1 dan tidak perlu mengunakan duit poket waktu itu sekali gus nak buat untuk pasangan dan anak-anak. 

Prosesnya senang je. Log masuk ke portal atau aplikasi mobil i-Akaun KWSP, pilih i-Lindung dan lihat pelan perlindungan hayat dan liputan penyakit kritikal yang komprehensif—sama ada kanser, strok, atau serangan jantung, dan lain-lain mengikut senarai penyakit kritikal semua dilindungi sehingga RM200,000. Bayaran tahunan bergantung kepada nilai pampasan mengikut kesesuaian budget anda dan dibayar terus melalui Akaun 1 tanpa perlu risau. Ini macam beli insurans tapi guna duit 'percuma' dari KWSP—kenapa tak nak kan?  Segala dokumen melalui online, dan dalam masa kurang dua minggu, polisi dah aktif. Rasa lega gila, sebab dulu selalu fikir, "Kalau apa-apa jadi, macam mana nak tampung kos hidup?" Sekarang, dengan i-Lindung ni, sekurang-kurangnya ada jaminan duit masa susah.

Isnin lepas, saya terima panggilan phone nombor bermula 03 mula-mula fikir scammer, promosi insurans atau produk tapis air walaupun perasaan berbelah bahagi tetapi tetap jawab panggilan. Dia perkenalkan diri dari Etiqa, ingatkan nak jual insurans rupanya dia tanya ada terima email dari kami tentang kempen i-Lindung Bonanza? Saya terus semak ada dan saya sedikit teruja sebab tak pernah berlaku sepanjang hayat. Rupanya terpilih dari 25 orang sebagai pemenang Gold bar 1g dari Habib Jewels. 

Dulu saya selalu bercerita pada keluarga, saudara dan kawan-kawan tentang kelebihan, ganjaran dan peluang yang ditawarkan dari institusi kewangan namun setelah sekian lama mencuba saya tidak pernah mendapat apa-apa pun ganjaran yang ditawarkan waima sekecil key-chain dari mereka untuk setiap pelaburan lalu saya nekad sejak awal tahun 2024 untuk tidak lagi bercakap apa-apa pasal perkara ni pada sesiapa sebab tiada orang pun akan dengar dan percaya selagi tiada "bukti" yang nyata. Perkongsian ini bukanlah berniat untuk menunjuk tapi sebagai permulaan semangat baru untuk terus mengatur langkah dalam perancangan kewangan yang lebih terjamin dan lebih solid—tabung mengurangkan risiko untuk persaraan dan perlindung untuk hari akan datang. Dari perkongsian ini, tidak mendatangkan komisyen satu sen pun pada saya, cuma meneruskan kebaikan yang pernah dikongsikan oleh orang-orang baik yang sebelum ini pernah berkongsi manfaat. 

Secara keseluruhan, i-Lindung KWSP merupakan langkah bijak yang menggabungkan simpanan dan perlindungan dalam satu platform. Ia bukan sahaja mengurangkan risiko kewangan, tetapi juga memberi keyakinan bahawa masa depan keluarga anda terlindung. Bagi pekerja Malaysia, terutamanya di tengah-tengah kos sara hidup yang semakin meningkat, i-Lindung adalah alat yang tidak boleh diabaikan. Saya mengesyorkan semua ahli KWSP untuk menilai akaun mereka dan mula mendaftar hari ini—kerana perlindungan terbaik bermula dengan langkah kecil. Kalau anda belum cuba, jangan tunggu lama. Siapa tahu, kempen seterusnya boleh buat anda menang bonanza besar!

 HR #takafulisgood






Tuesday, March 26, 2019

Caruman PERKESO, Insuran Nyawa 'Paling Murah' Tetapi Terbaik Di Malaysia!

Petubuhan Kebajikan Sosial (SOCSO/PERKESO) merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja swasta dan tanggungan mereka.


Adalah dianggap sebagai satu kesalahan yang melanggar undang-undang jika pihak majikan tidak mendaftarkan syarikat dan pekerja-pekerja di bawah PERKESO, serta tidak membayar caruman. Hukuman saman dan penjara boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Sejarah dan tentang PERKESO

Badan kerajaan ini ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Manusia pada tahun 1971.

Semua syarikat swasta di Malaysia diwajibkan berdaftar di bawah PERKESO dalam tempoh 30 hari dari hari pertama pekerja mula bekerja, menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Pencaruman oleh pekerja adalah lebih rendah berbanding majikan, yang di antara kadar 0.5% hingga 3% berdasarkan gaji mereka.

Bagi pekerja yang bergaji lebih daripada RM3,000 sebulan, caruman tidak diwajibkan.

Tujuan penubuhan PERKESO

PERKESO telah diperbadankan untuk memberikan bantuan perubatan dan kewangan kepada pekerja yang mengalami kekurangan keupayaan atau tidak berupaya, disebabkan oleh penyakit atau kemalangan.

Malah, jika pekerja meninggal dunia, tanggungan pekerja berkenaan seperti isteri dan anak-anak akan diberi bantuan melalui pencen.

Individu yang layak

Individu layak didaftarkan di bawah PERKESO jika anda seorang pekerja di bawah 60 tahun dan bekerja di sektor swasta dengan gaji bulanan.

Anda dikecualikan daripada faedah-faedah ini jika tergolong dalam mana-mana satu senarai di bawah:

·         Pekerja tetap di kerajaan negeri ataupun persekutuan.
·         Pembantu rumah.
·         Bekerja sendiri.
·         Pemilik perniagaan ataupun rakan kongsi.
·         Pasangan kepada pemilik perniagaan ataupun rakan kongsi.
·         Pekerja asing.

Jenis Perlindungan

Perlindungan oleh PERKESO terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Skim Kecederaan Pekerjaan, Skim Pencen Ilat dan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (Teksi).

1. Skim Bencana Pekerjaan

Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya.

Perlindungan di bawah skim ini meliputi kemalangan berikut:

·         Kemalangan perusahaan semasa menjalankan pekerjaannya.
·         Kemalangan semasa dalam perjalanan mengikut laluan di antara tempat kediamannya atau tempat tinggalnya dengan tempat kerjanya yang dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya di antara tempat kerjanya dengan tempat pergi makan dalam masa rehat yang dibenarkan.

Nota: Kemalangan yang berlaku dalam masa apa-apa perhentian atau lencongan tidaklah disifatkan terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaannya.

Kemalangan semasa kecemasan

Kemalangan yang berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat bekerjanya bagi tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang mendapat bencana atau bahaya semasa kecemasan.

Penyakit khidmat

Penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan di Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Antara contoh penyakit khidmat adalah seperti:

·         Hilang pendengaran disebabkan oleh paras tekanan bunyi tinggi yang berterusan.
·         Penyakit asma disebabkan oleh pekerjaan yang melibatkan pendedahan berterusan kepada sedutan habuk atau bahan kimia yang berbahaya dan sebagainya.

Faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan:

·         Faedah Perubatan.
·         Faedah Hilang Upaya Sementara.
·         Faedah Hilang Upaya Kekal.
·         Elaun Layanan Sentiasa.
·         Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional.
·         Faedah Orang Tanggungan.
·         Faedah Pengurusan Mayat.
·         Faedah Pendidikan.

2. Skim Pencen Ilat

Seseorang berinsuran dianggap sebagai menghidap keilatan apabila mengalami suatu keuzuran yang berkekalan samada tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh serta tidak berupaya mencari nafkah dengan kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan tenaganya, sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan pekerja yang normal.

Skim ini memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Faedah di bawah Skim Keilatan:

·         Pencen Ilat.
·         Bantuan llat.
·         Elaun Layanan Sentiasa.
·         Pencen Penakat.
·         Faedah Pengurusan Mayat.
·         Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional dan Dialisis.
·         Faedah Pendidikan.

3. Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (Teksi).

Skim baharu di bawah PERKESO

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri adalah untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya berkuatkuasa pada 13 Jun 2017.

Perlindungan ini disediakan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Tempoh perlindungan selama 12 bulan mulai dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi cetakan pada resit bayaran caruman.

Skim bencana kerja pekerjaan sendiri

PERKESO menyediakan skim perlindungan untuk pemandu teksi atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya di bawah Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsuran yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Skim ini menyediakan faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Perkhidmatan teksi atau seumpamanya di Malaysia

Jenis-jenis perkhidmatan teksi:

·         Teksi Bajet.
·         Teksi Eksekutif.
·         Limosin.
·         Teksi Lapangan Terbang.
·         Kereta Sewa.
·         Perkhidmatan yang seumpamanya (Grab Car/E-Hailing).

Skop liputan dan pelaksanaan

1. Kelayakan Pemandu Teksi atau Perkhidmatan Seumpamanya:

·         Warganegara Malaysia/Permastautin Tetap.
·         Berdaftar dengan JPJ, Agensi yang berkaitan atau LPKP (Sabah dan Sarawak).
·         Lesen memandu yang sah.
·         Kad Pemandu Teksi/Surat Kebenaran yang masih sah laku oleh Agensi yang berkaitan/LPKP (Sabah dan Sarawak).

2. Faedah-faedah yang disediakan:

·         Faedah Perubatan.
·         Fedah Hilang Upaya Sementara.
·         Faedah Hilang Upaya Kekal.
·         Elaun Layanan Sentiasa.
·         Faedah Orang Tanggungan.
·         Faedah Pengurusan Mayat.
·         Kemudahan Pinjaman Pendidikan.
·         Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional dan Program “Return to Work (RTW)”.

3. Cara Pendaftaran

Pendaftaran adalah secara online (web based) menggunakan portal iPERKESO dan dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut;

·         Mempunyai talian telefon bimbit dan emel yang aktif.
·         Memuat naik lesen memandu yang sah.
·         Memuat naik kad pemandu teksi yang masih sah laku dari Agensi yang berkaitan atau memuat naik Surat Izin/Kebenaran dari LPKP(Sabah dan Sarawak).

4. Bayaran Caruman

Pembayaran hanya boleh dibuat secara online melalui perbankan internet bagi perlindungan untuk tempoh setahun.

Langkah-langkah pembayaran adalah seperti berikut:

·         Lengkapkan proses pendaftaran iPERKESO.
·         Pilih pembayaran melalui “Financial Process Exchange” (FPX).
·         Cetak resit sebagai bukti bayaran.

Pilihan caruman

Kadar caruman berdasarkan opsyen pilihan pendapatan diinsuranskan sebanyak 1.25% daripada pendapatan sebulan.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma

PERKESO telah mengeluarkan baucar pemeriksaan kesihatan kepada 2.2 juta rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, keputusan menunjukkan bahawa 1.7 juta (77.3% daripada pencarum) yang layak untuk menerima pemeriksaan kesihatan percuma telah menolak inisiatif ini.

Walaupun ia memerlukan usaha untuk menjalani keseluruhan proses, namun untuk seseorang mengambil cuti untuk hadir ke perkhidmatan percuma ini adalah tindakan yang wajar dan harus digalakkan.

PERKESO juga menawarkan Program Pemeriksaan Kesihatan (HSP) secara percuma untuk ahli berusia 40 tahun dan keatas.

Pemeriksaan kesihatan ini meliputi pemeriksaan penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser serviks, dan kanser payu dara.

Namun, pemeriksaan percuma ini hanya ditawarkan di klinik-klinik panel terpilih sahaja. Sehingga Februari 2016, hanya 450,000 orang dari 2.2 juta ahli PERKESO yang layak telah menjalani pemeriksaan percuma tersebut.

Jadi, jika anda layak, jangan ketinggalan untuk menjalani pemeriksaan tersebut.

KATEGORI CARUMAN PERKESO

Kategori pertama: Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan;

·         Kategori ini untuk semua pekerja di bawah 60 tahun dikehendaki menyertai kategori ini.
·         Hanya 0.5% daripada gaji bulanan pekerja yang harus dicarum. Sekiranya anda menyumbang peratusan yang lebih tinggi, anda perlu laporkan hal ini.

Kategori kedua: Skim Bencana Pekerjaan sahaja;

·         Untuk pekerja yang berusia 60 tahun ke atas dan masih bekerja.
·         Untuk pekerja yang berusia di atas 55 tahun yang telah membuat caruman PERKESO pertama mereka.
·         Orang yang Diinsuranskan yang menerima Pencen Keilatan dan masih bekerja dan menerima kurang daripada 1/3 daripada gaji bulanan purata sebelum ketidaksempurnaan.
·         Majikan menanggung kos caruman kepada PERKESO pada kadar 1.25% daripada gaji bulanan.

Kenapa PERKESO Sangat Penting?

Antara sebab utama PERKESO amat penting ialah perlindungan yang ditawarkannya boleh dikira menyeluruh, ditambah dengan sumbangan yang diberikan apabila anda terlibat dalam bencana di tempat kerja.

Ini bermakna rawatan dan juga rawatan susulan untuk kecederaan di tempat kerja bakal ditanggung PERKESO.

Sebagai contoh, jika pekerja ditimpa kecederaan kekal ataupun memerlukan rawatan fizikal, kos rawatan tersebut bakal ditanggung PERKESO.

Ini termasuklah fisioterapi, pembedahan, anggota palsu dan juga alatan prostetik seperti kerusi roda atau alat bantuan pendengaran.

Malah, kecederaan yang berlaku di waktu rehat (yang telah ditetapkan oleh majikan) juga akan ditanggung oleh PERKESO.

Bagaimana Membuat Tuntutan PERKESO?

Sekiranya anda ditimpa kemalangan di tempat kerja, ataupun dalam perjalanan pergi atau pulang dari tempat kerja, anda boleh menuntut kos rawatan dari PERKESO.

Jika kemalangan tersebut berlaku di tempat kerja, majikan perlu memaklumkan hal tersebut kepada PERKESO dengan mengisi borang Laporan Kemalangan (Borang 21) dan Borang Tuntutan (Borang 10).

Anda juga perlu menghantar tag kehadiran ataupun rekod kehadiran kerja, sijil perubatan dan salinan kad pengenalan ke pejabat cawangan PERKESO.

Jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu anda pergi atau pulang dari tempat kerja, laporan polis dan lakaran peta lokasi kejadian sewaktu kemalangan berlaku juga perlu dihantar.

Maklumat Tambahan Mengenai PERKESO

Jika gaji pekerjaan pertama anda adalah di bawah RM4,000, caruman PERKESO adalah wajib Tetapi, katakanlah anda menerima gaji lebih dari RM4,000 untuk pekerjaan pertama, anda boleh memilih untuk mencarum PERKESO ataupun tidak.

Tetapi, jika gaji pekerjaan pertama anda dibawah RM4,000 dan anda menerima kenaikan sehingga jumlah gaji anda melebihi RM4,000, anda tidak dibenarkan untuk berhenti caruman PERKESO.

Pekerja dengan kontrak sementara ataupun sambilan juga perlu didaftarkan dengan PERKESO sekiranya gaji mereka dibawah RM4,000.

Seperti yang dinyatakan diatas, ia satu kesalahan jika majikan tidak membuat caruman PERKESO, tidak kira apa jua status kontrak pekerjaan ataupun umur pekerja tersebut.

Semoga memberi manfaat.

Sumber artikel

Monday, March 25, 2019

5 Sebab Kenapa Anda Wajib Dilindungi Insuran Nyawa

Dalam kehidupan yang sentiasa berubah dan tidak menentu, adalah penting bagi kita untuk melindungi diri sendiri dan keluarga dari perkara-perkara yang tidak diingini dan tidak dapat dielakkan.

Insuran Nyawa

Namun begitu, masih lagi ramai orang di Malaysia yang tidak merperlihatkan kepentingan insurans nyawa dalam perancangan kewangan mereka.

Menurut laporan 2012/2013 Protection Gap Study yang dikaji oleh Life Insurance Association of Malaysia (LIAM), hanya sebanyak 56% orang di Malaysia yang dilindungi oleh insurans nyawa.

Seandainya anda belum lagi dilindungi ataupun ingin mengetahui lebih banyak informasi berkenaan insurans nyawa dan liputannya, di sini 5 perkara anda perlu tahu mengenainya.

1. Apakah liputan insuran nyawa di Malaysia?

Sebagai permulaan, polisi insuran nyawa adalah satu kontrak di antara syarikat insuran dan pemegang polisi, di mana pembayar akan membuat bayaran secara ansuran sama ada bayaran bulanan, setiap tiga bulan, dua kali setahun ataupun sekali setahun, dan pembayar akan mendapat pembayaran balik dalam sekali gus ataupun dalam bentuk manfaat selepas kematian kepada benefisiarinya selepas kematian pembayar.

Pada masa kini, kebanyakan insuran nyawa juga menyediakan pampasan Hilang Upaya Kekal (atau TPD) untuk melindungi pemegang polisi dan keluarganya sekiranya pembeli insurans hilang upaya untuk menjana pendapatan.

Salah satu kelebihan insuran nyawa ialah manfaat selepas kematian untuk kesemua jenis insuran nyawa adalah bebas cukai.

2. Kenapa anda memerlukan insuran nyawa?

Untuk mengenalpasti sama ada anda memerlukan insuran nyawa, anda seharusnya mempertimbangkan hakikat yang paling teruk sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.

Sekiranya anda meninggal dunia keesokan hari, adakah keluarga kesayangan anda akan dilindungi dari aspek kewangan?

Sekiranya keluarga anda akan menghadapi kesusahan dari segi kewangan selepas pemergian anda, maka jelaslah anda memerlukan insuran nyawa. Manfaat selepas kematian akan menggantikan pendapatan anda dan juga membantu keluarga anda menangani keperluan kewangan yang lain.

Adakah anda pasti keluarga anda berupaya untuk membayar perbelanjaan terakhir anda seperti perbelanjaan perubatan, perbelanjaan pengebumian, cukai, hutang dan bayaran penguaman?

Adakah mereka berupaya untuk membayar pembiayaan rutin seperti sewa, pinjaman perumahan, makanan, pakaian, pengangkutan dan pembiayaan kesihatan, sekurang-kurangnya di tahap awal?

Bagaimana pula dengan matlamat kewangan jangka panjang?

Dengan pemergian anda, adakah pasangan anda dapat mempunyai wang yang secukupnya untuk tujuan pendidikan tinggi anak anda ataupun untuk tujuan persaraan?

Adakah anda juga beringin untuk meninggalkan sesuatu untuk anak atau cucu anda?

Polisi insuran nyawa di Malaysia adalah paling sesuai untuk mereka yang mempunyai ahli keluarga yang bergantung kepada mereka dari segi kewangan, maka ia tidak wajib bagi kanak-kanak ataupun persara yang tiada sumber pendapatan atau ahli keluarga yang bergantung kepada mereka dari segi kewangan.

Liputan insuran nyawa akan memastikan orang kesayangan anda terus dibiayai secara kewangan jikalau anda tiada lagi ataupun hilang keupayaan untuk mencari sumber pendapatan.

Keluarga anda akan mendapat kepastian bahawa kualiti kehidupan mereka tidak akan terjejas dengan perlindungan insuran sepenuhnya.

Tambahan pula, anda berhak menuntut pelepasan cukai sehingga RM6,000 setahun untuk sumbangan anda terhadap insurans nyawa dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

3. Jenis-jenis polisi insurans nyawa

Jenis-jenis polisi insuran nyawa

4. Apakah faktor-faktor yang harus dipertimbangkan?

Insuran nyawa khasnya adalah untuk melindungi anda seumur hidup, maka ia adalah mustahak untuk anda membuat penyelidikan dan mempertimbangkannya dari semua aspek sebelum membuat keputusan untuk membeli insurans tersebut.

Berikut adalah beberapa faktor yang seharusnya dipertimbangkan sebelum anda membuat keputusan untuk membeli polisi insuran yang terbaik di Malaysia dan juga bersesuaian dengan keperluan anda:

(a) Matlamat kewangan

Anda harus mengenal pasti matlamat kewangan anda sebelum memilih polisi insuran yang bersesuaian dengan keperluan anda. 

Insuran nyawa bukan sahaja untuk membantu keluarga anda dari aspek kewangan selepas anda meninggal dunia, ia juga boleh membantu anda mencapai matlamat-matlamat lain.

Anda mungkin mengharapkan pembayaran manfaat kematangan untuk pesaran anda, untuk pembiayaan pendidikan luar negara bagi anak anda, ataupun salah satu cara untuk anda meringankan bebanan cukai seiring dengan peningkatan tanggungjawab keluarga anda.

Apa jua matlamat anda, ia mempunyai pengaruh besar dalam menentukan polisi insuran nyawa yang paling sesuai untuk anda.

(b) Kos premium

Walaupun insuran nyawa dibeli untuk membantu anda merealisasikan matlamat kewangan dan melindungi keluarga anda, harga premium seharusnya berpatutan dengan kemampuan anda.

Membayar premium yang terlalu mahal boleh menyebabkan pembayaran polisi anda tertunda dan akhirnya mengakibatkan krisis kewangan.

Menurut perancang kewangan, premium insuran anda harus merangkumi 6% sahaja dari jumlah pendapatan anda. Contohnya, jika pendapatan anda adalah RM5,000, maka premium insuran bulanan sepatutnya tidak melebihi RM300.

Sepertimana apabila anda membeli apa jua, anda mesti membuat semakan terdahulu apabila membeli polisi insuran nyawa supaya dapat memilih polisi yang terbaik dan berpatutan.

(c) Nilai polisi

Sebenarnya, proses menentukan jumlah insuran nyawa yang anda perlukan tidak perlu rumit.

Andaikan anda seorang profesional berumur 30 tahun yang telah berumahtangga dengan seorang anak, berikut adalah anggaran jumlah nilai insuran nyawa yang anda perlukan:

Nilai polisi Insuran

Anda boleh berbincang dengan wakil ejen insuran anda berdasarkan tiga langkah yang berikut untuk menentukan jumlah polisi insurans yang perlukan hari ini untuk melindungi keluarga anda.

5. Memilih polisi insuran yang sesuai

Memilih insuran nyawa yang sesuai bergantung kepada keperluan kewangan anda dan keluarga anda untuk masa kini dan masa depan. Insuran nyawa adalah perlindungan yang penting untuk kebanyakan orang.

Seperti mana dijelaskan, insuran nyawa adalah paling sesuai untuk individu yang mempunyai tanggungan dari segi kewangan, dan semakin banyak tanggungan anda, semakin tinggi nilai polisi atau jumlah insuran anda.

Ia bukan sahaja penting untuk mendapatkan insuran nyawa, ianya penting bukan mendapatkan insuran nyawa yang secukupnya supaya keluarga anda tidak terabai dari segi kewangan jika sesuatu berlaku dengan anda.

Kadar purata perbelanjaan untuk setiap tanggungan adalah antara RM100,000 hingga RM150,000.

Polisi insuran

Ini hanya jumlah perbelanjaan purata bagi seseorang individu untuk terus hidup untuk lima tahun sekiranya sesuatu berlaku kepada pencari nafkah utama di sesebuah keluarga.

Anda harus menentukan jumlah polisi dan jenis polisi insuran nyawa yang diperlukan supaya tidak terikat dengan perlindungan yang tidak mencukupi atau perlindungan mahal yang tidak diperlukan.

Sewaktu membuat pilihan polisi, anda harus mempertimbangkan polisi yang paling sesuai dengan peringkat hidup anda dan memahami liputan setiap satu polisi.

Salah satu kesilapan umum oleh ramai orang adalah mereka gagal membuat semakan ke atas polisi mereka dari masa ke semasa. Keperluan kita sentiasa berubah dan perlindungan insuran nyawa anda perlu mencerminkannya.

Sebagai contoh, keluarga yang baru menerima cahaya mata akan mempertingkatkan keperluan bulanan terhadap pendapatan serta keperluan untuk jangka masa panjang seperti pelan pendidikan anak.

Setiap individu dewasa semestinya menyemak polisi insuran nyawa mereka setiap beberapa tahun sekali untuk mengenalpasti ianya mendapat perlindungan yang secukupnya.

Tiada jumlah wang yang boleh mengantikan nyawa seseorang namun, polisi insuran nyawa boleh memberi perlindungan untuk berdepan dengan ketidaktentuan hidup.

Semoga memberi manfaat.


Sumber artikel